Monday, July 4, 2011

Penantian 2 Minit Mi Segera

Termangu sebentar setelah membuka pintu, lorong lurus gelap. Hujung sekali adalah pintu ke surau, dua pintu tandas di kiri dan pintu 'pantry' di kanan. Tangan aku lekas-lekas Bmeraba kocek mendapatkan kunci untuk membuka pintu sambil tangan kiri memegang erat cawan kopi dan sebungkus mi segera.

Belum sepenuhnya pintu dibuka, tangan kiri sudah memetik suis lampu dan terpancarlah sinar cahaya menerangi lantai dan segenap segi. Tanpa membuang masa, aku memetik suis untuk memasak air. Sebaik deruman pemanas rendam mereneh air di dalam cerek, aku meramas-meramas bungkusan mi segera. Sebutir mangkuk kaca dicapai dari dalam kabinet, dimasukkan kesemua mi segera tadi beserta serbuk rencahnya.

Sambil menunggu air mendidih, aku sempat membuka peti ais. Marjerin Planta yang kubeli sejak berbulan lalu masih berbaki. Pintu peti ditutup, hanya bunyi jerangan air memecah sunyi. Terkadang aku bagaikan diganggu bunyi-bunyi ringan dari lorong luar yang nyata gelap. Kini air telah mendidih, dan kutuangkan ia memenuhi separuh takat mangkuk dan menanti saat mi menyerap air menjadi lembut sesuai untuk dimakan.

Menanti 2 minit untuk mi segera ini lembut, aku mengacau lembut kuahnya. Putar hala arah jam, dan kembali ke arah berlawanan. Aku cuba melihat bayangku sendiri jika terpacul di permukaan kuah kari yang kuning berminyak. Tiba-tiba hati aku tertanya-tanya, mengapakah hari ini sungguh sepi?

Kesepian ini bukan kerana aku bersendirian di pejabat, bukan juga kerana hujung minggu aku dihabiskan dengan tiada beraktiviti. Aku sedar, aku merindui sebuah memori silam. Tiba-tiba berdesup masuk memori sewaktu aku masih memiliki seorang ayah. Mungkin dia sudah lama tiada dan visualnya kabur. Bulan Julai bukanlah bulan di mana dia pergi, tetapi aku terfikir sebelum itu bilakah kali terakhir aku bercakap dengannya? Baiklah, mi saya sudah kembang!!

Merindui saat bekerja di tapak bina!

No comments: